Sponsors

Jumat, 27 Desember 2013

Pemandu trak ditemui maut



  • Pemandu trak  ditemui maut
BUKIT TINGGI – Misteri kehilangan pemandu trak tunda dalam kejadian trak tundanya terbakar kira-kira jam 2.24 pagi semalam terungkai apabila mayatnya ditemui lebih kurang 14 meter di bawah susur jejambat naik ke Berjaya Hills Resort dekat sini.

Terdahulu, pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bentong menerima panggilan berhubung kejadian trak tunda terbakar di persimpangan naik Berjaya Hills Resort.

Pegawai Operasi, Sakri Ibrahim berkata, satu jentera bomba dengan kekuatan enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, enjin trak tunda masih hidup dan api sedang marak membakar bahagian depan kenderaan.

“Pihak kami mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Sakri berkata, semasa kejadian tiada pemandu berada di tempat kejadian.

Terkejut jumpa mayat anak

Sementara itu, bapa mangsa, S Subramaniam, 41, berkata, anak sulungnya yang dikenali sebagai Palani, 20, baru dua minggu bekerja sebagai pemandu trak tunda.
Katanya, dia jarang bertemu anaknya dalam tempoh berkenaan kerana bekerja sebagai pemandu lori.

“Kira-kira jam 8.30 pagi semalam, saya menerima panggilan dari majikan anak saya mengatakan trak tunda dipandu Palani terbakar, tetapi Palani tiada di tempat kejadian.

“Majikannya bertanya sama ada anak saya  ada pulang ke rumah atau tidak, saya menyatakan dia tiada pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Subramaniam berkata, dia kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan turut terlibat mencari anaknya itu di sekitar kawasan itu.

Katanya, selepas beberapa jam mencari dia ternampak anaknya terlentang di bawah susur jejambat naik ke Berjaya Hills Resort.

“Dari jauh saya yakin itu anak saya kerana saya dapat melihat wajahnya. Dia memakai baju dan berseluar pendek.

“Selepas itu, saya dan rakan-rakan turun ke bawah untuk melihat dengan lebih jelas,” katanya.

Subramaniam berkata, dia mendapati anaknya dalam keadaan tidak bernyawa.

Motif kejadian masih disiasat

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dari orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki berbangsa India kira-kira jam 10.30 pagi.
language="javascript" src="http://com/servlet/ajrotator/847945/0/vj?z=admaxasia2&dim=280733&pid=910f402a-9ffb-4ed1-8a31-80a1a50c9df3&asid=729fee93-bc62-4ef0-aa34-e6a62a90d508">
Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemui mayat lelaki berusia lingkungan 20-an dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui berhampiran mangsa. Mayat mangsa berada lebih kurang 14 meter di bawah susur jejambat naik ke Berjaya Hills Resort.

“Berdasarkan siasatan, mangsa merupakan pemandu trak tunda yang terbakar lebih kurang satu kilometer dari tempat mangsa ditemui,” katanya.

Wan Azharudin berkata, pasukan forensik polis dan unit patologis dari Kuantan menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Katanya, unit forensik pasukan bomba dan penyelamat juga menjalankan siasatan ke atas trak tunda yang terbakar satu kilometer dari tempat mayat ditemui.
“Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke atas dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat kira-kira jam 5.20 petang selepas siasatan di tempat kejadian selesai.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. Setakat ini pihak kami masih belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa dan motif kejadian,” katanya. SH

Tidak ada komentar:

Posting Komentar